Jom renung-renungkan .
-- SEKITAR KEMPEN KETUA PEMUDA ARAU (SIRI 1) --
Kempen Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Arau yang masuk ke minggu terakhir dan pelbagai laporan dan rakaman diterima dari pelbagai sumber.
Terkini, sahabat saya yang turut sama menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau untuk ke sekian kalinya berkempen bahawa hanya calon yang bekerja di Perlis layak menjadi Ketua Pemuda.
Walaupun saya lahir dan membesar sebagai “orang peghelih”, saya tentu sekali tidak mampu menyalahkan takdir tuhan yang memberi sumber rezeki kepada saya di luar negeri Perlis. Akan tetapi, sejak tahun 2009 sehinggalah ke tahun 2013 ini, rakan-rakan Pemuda khususnya di Bahagian Arau boleh menilai track-record program-program yang telah dilaksanakan.
Dalam keadaan tidak memegang apa-apa jawatan di peringkat Bahagian, saya dan rakan-rakan telah berjaya menganjurkan:
- program tahunan Tutorial Akademik & Penambahan Jemaah Muda di masjid (‘study group’ SPM yang disertai ratusan pelajar luar Bandar),
- Pertandingan Bolasepak 9 Sebelah (disertai 24 Pasukan, penambahan 121 ahli UMNO dan pendaftaran 78 pengundi baru),
- 3x Tayangan ‘Giant Screen’ Final Bolasepak (pendaftaran 184 pengundi baru melalui kupon cabutan bertuah),
- Program hiburan Battle of the Bands untuk orang muda di Arau menjelang hari Pilihanraya Umum ke-13 selepas sekian lama bertungkus-lumus bekerja untuk parti,
- Siri program penjanaan ekonomi orang muda dengan kerjasama JBSPs dan KKLW,
- Pertandingan Bolasepak PlayStation2 di Dataran C-Mart Arau (penambahan 31 ahli UMNO dan 9 pengundi baru),
- Program Kembara Ramadhan menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Baling dan Kpg Teloi Timur,
- Pentomen Sejarah Perjuangan Kemerdekaan dan pertandingan indoor games sempena Hari UMNO 2012,
dan tentunya ratusan program-program strategik berskala kecil yang lain yang dianjurkan dalam keadaan saya mencari rezeki di luar negeri Perlis dan hanya marhaen kerdil tanpa jawatan dalam Pemuda Bahagian Arau.
Saya tidak pasti “jika ada” sebarang gerak kerja atau program parti yang telah dianjur dan dilaksanakan oleh sahabat saya ini yang kebetulan bekerja di Perlis dan turut memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Arau. Kawan-kawan dok tanya...
ps: teringat peribahasa orang tua-tua...
-- SEKITAR KEMPEN KETUA PEMUDA ARAU (SIRI 2) --
Nampaknya kempen serangan peribadi untuk merendah-rendahkan kemampuan pihak lawan yang dimulakan oleh sahabat saya masih tidak berhenti.
Maka, saya tidaklah mempunyai banyak pilihan lain disaat-saat akhir ini selain memberikan penjelasan untuk menjawab tohmahan dan adu domba yang dilemparkan demi untuk mempertahankan kawan-kawan marhaen dan pekerja parti yang tidak berjawatan dalam Pemuda Bahagian yang begitu bersemangat untuk menawarkan khidmat bakti mereka menggerakkan gerak kerja Pemuda di peringkat Bahagian.
Terdapat cubaan melaga-lagakan saya dengan kawan-kawan yang membantu memberikan sokongan kepada saya. Sahabat saya yang turut sama menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau bersama-sama orang kanan kiri depan belakang beliau men‘jarum’ kononnya saya melebihkan sahabat-sahabat daripada DUN Sanglang untuk berada di dalam barisan Jawatankuasa Pemuda Bahagian.
Matlamat gerak kerja Pemuda Arau perlu jelas dan sistematik bermula dari peringkat perancangan awal. Apapun gerak kerja yang dirancang, matlamat akhir Pemuda Arau mestilah untuk (1) Mempertahankan kemenangan Barisan Nasional di DUN Pauh, Tambun Tulang dan Guar Sanji; (2) Menambah majoriti kemenangan di Simpang Empat; dan yang paling penting dan utama, (3) Merampas kembali kerusi DUN Sanglang yang sudah 3 penggal berada di bawah pembangkang.
Dengan sebab itu, sejak dari peringkat awal lagi, saya berusaha menyusun sebuah pasukan Pemuda yang mantap di DUN Sanglang. Saya melihat adanya keperluan yang mendesak untuk membawa masuk wakil Pemuda dari kelompok orang-orang muda yang bekerja sebagai nelayan, petani, usahawan, kakitangan kerajaan dan golongan professional; bukan hanya kerana mereka memberi sokongan kepada saya, tetapi kerana itu yang terbaik untuk merampas kembali DUN Sanglang pada hemat saya. Pemuda Arau perlu berusaha membantu BN menyapu bersih kesemua kerusi DUN dan Parlimen di Arau pada PRU14.
Jadi, saya akui, saya lebihkan sahabat-sahabat dari DUN Sanglang tanpa berlaku peminggiran terhadap sahabat-sahabat dari kawasan lain.
Dalam pada itu, perlu juga dinilai, apa kurangnya dengan sahabat saya yang turut sama menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau bersama-sama orang kanan kiri depan belakang beliau. Semuanya dari DUN Tambun Tulang dan semuanya Kontraktor Kelas F.
Harus diketahui dan difahami, barisan Jawatankuasa Pemuda Bahagian bagi penggal 2008-2013 terdiri 11 orang Kontraktor Kelas F dan hanya 4 orang dari bidang profession yang lain. Pakat-pakat nilai sendiri apa yang telahpun terjadi.
Kawan-kawan kontraktor dalam Pemuda ni ada 2 kumpulan. Pertamanya, yang bertungkus-lumus bekerja untuk parti tanpa mengambil kira ada atau tidak ada projek untuk diri sendiri. Keduanya, dan yang ramainya, kalau tak dapat projek tak boleh nak bantu gerak kerja parti; bila dapat projek sibuk nak siapkan projek maka tak dapat nak bantu gerak kerja parti; dan, bila projek dah siap asyik sembang rugi memanjang maka tak dapat juga nak bantu gerak kerja parti (mintak projek satu lagi). Sekali lagi, pakat-pakat nilai sendiri apa yang telahpun terjadi......
ps: dan sekali lagi, saya teringat peribahasa orang tua-tua...
Syed Atief bin Syed Abu Bakar
Calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau 2013
